Wednesday, June 10, 2020

Intai intai

Bersawang dah blog ni, in shaa Allah Cuba nak menulis kembali...doakan ye. =)

Wednesday, February 27, 2013

Permulaan Cinta Yang Halal...


        Detik waktu ini dengan izin Allah SWT genap 19 hari aku berstatus 'Isteri'. Isteri kepada seorang hamba Allah yang suci dan telus hatinya yang teguh bersedia menggalas beban dan tanggungjawab terhadap diriku. Terima kasih wahai suamiku sanggup melayan karenahku, Seorang hamba Allah yang tidak pernah terlintas di fikiran malah di benakku juga tidak pernah terdetik. Wahai suamiku yang diingati setiap waktu, tidak ku idamkan harta, pangkat dan kekayaanmu cuma ku damba secebis ilmu dan kasih sayangmu yang mengajarku tentang keakraban dan kasih sayang Penciptaku agar matiku nanti dalam kasih sayang dan redha Tuhan. Wahai suamiku yang dikasihi, tidak ku ingin lagi  merebut cintamu dari sesiapa cuma ku perlu waktu untuk membiarkan cinta yang baru berputik itu berlalu pergi. aku juga yakin cinta manusia itu bakal meninggalkanku seiring dimamah usiaku. Justeru, bersabarlah melayan karenahku wahai suamiku, aku perlukan sedikit masa untuk menyuaikan diri...Terima kasih sekali lagi atas keikhlasan hatimu yang tulus sudi melindungiku dengan asma' Allah yang dipinjamkan Ya Hafidz Ya Quddus Ya Jalil, Yang Maha Pelindung Yang Maha Suci lagi Maha jernih. Aku sering menagih Ya Wadud agar dialirkan rasa cinta kedalam hatiku hanya Cinta Dia. Tidak sanggup rasanya menempatkan cinta selain Dia di kamar hatiku kerana cinta manusia itu sering mengecewakan. Akan ku cuba sedaya mampu untuk memiliki cintaNya agar hatiku tenang disaat suamiku memiliki cinta lain selain diriku....

       Siapakah 'dia'? antara insan-insan adam yang cuba merapatiku terselit kepentingan diri terhadapku. setelah ditolak cintanya, mereka melebarkan sayap menjauhiku mencari puteri-puteri lain untuk dijadikan kenalan. Bagiku, tiada perasaan kesal malah sedikit pun tiada rugi buatku menolak mereka kerana hati kecilku sering berbisik tegas dan teguh biarkan mereka pergi dari hidupmu, mereka bisa membuatkan dirimu lalai kelak. Terima kasih Allah kerna menyelamatkan diriku yang lemah ini. mana manusia yang tahan akan godaan dunia. Syukurku padaMu Ya Hafidz Yang Maha Memelihara, Kau setia pelihara diriku dari terjebak dengan cinta adam.  Jika dihitung, berpuluh lamaran yang pernah kuterima, waimah melalui surat layang, email, sms, call hatta wakil ibubapa mereka pernah ku terima. Namun, Allah tetap tidak mendatangkan apa-apa rasa terhadap mereka, diriku seperti tiada perasaan, membatu seribu bahasa membiarkan mereka. Biarpun fitnah ditabur, aku tidak mampu meleburkan ia dengan kata-kata namun keyakinan masih pasti dengan janji Tuhanku, Dia pasti bersama orang yang bersabar...dan hanya Dia yang mampu meleburkan fitnah itu walau tanpa kata-kata. Aku bukanlah sekejam yang disangka, keputusanku disuarakan dengan penuh hikmah walaupun ada yang tersakiti tapi itulah keputusanku. Aku menghormati niat kalian, begitu juga harapanku terhadap kalian menghormati setiap keputusanku. Aku benar-benar yakin akan jodohku, pasti Allah akan pertemukannya sehingga ada rasa getaran dari sel-sel tubuhku cuma siapa, bila dan di mana itu masih dalam lingkungan Rahsia Allah. Disaat aku diuji kerinduanku pada orang tuaku, bersimpuh lemahku didalam masjid itu, saat itu aku mendengar kata-kata indah seakan memujukku dari terus bersedih. ruang legar masjid didominasi suaranya, nasihat dan perkongsian itu menghiburkan juga. terus terlintas dihatiku yang paling dalam, alangkah indahnya jika orang itu adalah abangku, pasti akan ku merapatinya dan segera  meminta nasihat sebagai panduan hidup. Namun, itu khayalan cuma. Mustahil terjadi. tapi siapakah dia??? hatiku terus menyoal... hari-hari yang berlalu terus berlalu...  Permulaan yang baik didoakan juga membawa kepada pengakhiran yang baik. Insan yang tidak pernah ku kenal dan ketahui. Insan yang tidak pernah meluahkan rasa cintanya, juga tidak pandai bermain madah dan kata-kata, dalam perkenalan atas nama dakwah dan dimeterai dengan pernikahan kami memulakan cinta yang halal... [bersambung] =)

Saturday, September 8, 2012

7 september...


 Hasbi Allah wani'mal wakeel wani'mal maula wani'mannasir, Sesungguhnya dari Dia kita datang kepada Dia jualah tempat kita kembali.... 7/9/2006 >>> 7/9/2012..meniti denai kehidupan setelah 6 tahun berlalu  tanpa mereka. Alhamdulillah, panduan dan petunjuk dari yang Maha Agung menuntun jalan yang itu, doaku semuga Allah pertemukan kita suatu hari nanti dan terlebih ni'matnya di syurga firdaus Mu Ya Zaljalaliwal ikram... semuga Allah merahmati ruhmu wahai ayahanda dan bondaku, almarhum Shariff Yaacub bersama Allahyarhamah Radinah Abu.

Sunday, August 5, 2012

Quantum Diri~

Semalam, hampir saja kolam air mata membanjiri hamparan pipi. Hati tidak rela membiarkan dia pergi hari demi hari, tambahan pula diri tidak mampu menahannya pergi. setiap hari melihat dia semakin berkurang. rasa sayang semakin mendalam. benih cinta kian menebal. Baru rasanya saat perkenalan kita. Sebolehnya tidak mahu dia berganjak sedikit pun dariku. Jiwa mula berkecamuk bila akal memikirkan dia akan pergi jua walaupun dia tidak boleh disentuh , tidak boleh dibelai, tidak boleh dipeluk. namun ia boleh dirasai dengan renungan Tafakur, boleh dibelai dengan usapan Tadarus, boleh dipeluk dengan kehangatan Tahajjud. Sungguh! Ya Allah, hanya pengharapan padaMu Ya Allah ku harapkan. Hati terus memujuk. berbaki 13 hari. Ramadhan masih ada sambil memujuk diri.

Tuesday, July 24, 2012

4 Ramadhan 1427H > 4 ramadhan 1433H menggamit memori

4 Ramadhan 1427 H (5.20 pg)….

Seusai bersahur disisi emak, terus ku tukarkan pakaiannya. Rambutnya ku sisir penuh hati- hati. Risau sikat terkena pada luka pembedahan. Ku tenung dalam dalam raut usianya, ku kemaskan wajahnya, hatiku berbisik sendiri dengan resahnya hati ini. Teringat cerita emak 3 minggu lepas sewaktu menjaga baba di hospital, tanda tanda kematian menjelma bila kuku membiru dan tapak tangan kekuningan. Kuangkat tangan emak dan kulihat sendiri kejadian yang sama. Berderau darah, luluhnya hati sewaktu menghadapinya. Hanya perkataan ‘ emak, emak, emak….’ Suara halusku terlalu lemah dan perlahan. Ku gagahkan merapati ke telinganya sambil menyebut kalimah thoyyibah, bibirnya beralun dalam deru nafas terakhir. Kuperhati nafasnya naik dan terus turun tanpa ada pergerakkan selepas itu. Dalam percaya atau tidak, aku terus memanggil nurse. Dlm pada itu, aku terus tinggalkan mereka untuk solat subuh sementara doktor sampai. Dlm jam 6.20 pg Dr sahkan pemergian emak buat selama lamanya. Mesej ringkas terus ku hantar kepada abang ku. Dalam percaya atau tidak, rupa2nya aku kehilangan kedua2nya dalam masa yang terlalu pantas. Memori ini masih segar dalam kotak minda, terpahat dalam kamar hati walaupun 6 tahun telah berlalu. Ujian ini benar2 menggoncang seluruh jasad. Aku bukanlah setabah Fatimah Azzahra menghadapi kematian Ayahandanya Rasulullah SAW. Cuma Insan biasa lagi kerdil, yang terlalu dhaif disisi Allah SWT.  

                Masih kuingat saat pengkebumian di pusara baba dan emak, setelah ramai telah pulang.  aku tidak mahu pulang. Kataku, ingin duduk disini, nak ikut mak dan baba. Abang hanya tertunduk ke tanah tanpa berkata, mungkin menahan sedih dan sayu. Meluncur satu suruhan dari pakcikku, katanya “ Faizal, pujuk ida dan tarik dia balik” sambil pakcik terus berlalu, mungkin pakcik juga sedih sebab beliau antara orang paling akrab dgn arwah baba. Teringat pujukan abang kepadaku “ da..jom balik” saat dia tak mampu meneruskan kata2, die terus menarik lenganku. Ketika berjalan keluar dari kawasan perkuburan, ku terlihat 4 kelibat sahabat sekolah, rupanya mereka setia menungguku dari tadi. Sekarang ni, salah seorang darinya juga telah pergi menghadap Ilahi setahun selepas aku kehilangan permata hati. 
                6 tahun telah berlalu, ia terlalu perit untuk dilalui namun percayalah Allah itu Maha Mengetahui setiap yang berlaku. 6 tahun jugalah abangku setia berbalas mesej. Setiap kali Ramadhan , setiap kali berbuka dia tidak pernah termiss mesej “ dah buke” atau pun “ buke ape”, dan setiap pagi, mesej die “ bgn sahur” ataupun “ dah bangun”..walaupun ringkas namun amat2 bernilai bagiku. Penuh makna. Aku sangat merindui abang tapi jarak membataskan. Dialah yang selalu bertanya kabar, dia jugalah yang selalu memberi keyakinan untukku buat keputusan. Tika aku sakit, dia yang banyak bertanya keadaanku sehinggalah dia benar2 mendengar suara sihatku. Walaupun abang ku ini digeruni oleh abang2 yg lain. garang orangnya namun di satu sudut aku melihat dia sangat penyayang sebenarnya. Cuma tidak dizahirkan scr fizikal tetapi dizahirkan dgn perbuatan tanpa sedar. Sesungguhnya aku mendoakan kesejahteraan buat abang2 dan kakak2ku, semuga Allah limpahi taufiq dan hidayah serta rezeki yang melimpah ruah kepada kalian. Sesungguhnya adikmu ini sangat menyayangi kalian. Hanya doa yang mampu dihadiahi.

                Al Fatihah buat ayahbondaku yang telah kembali ke Rahmatullah. Semuga Allah cucuri Rahmat ke atas Ruh Emak dan Baba di sana. 14 Sya’ban 1427H dan 4 Ramadhan 1427H

Saturday, June 30, 2012

Suara Hati~





Allah…sakitnya rasa rindu ini, tak sabar mahu bertemu denganmu kembali. Setelah rehatku yang melelahkan rasa rindu ini. Kini, kembali bertaut antara Kau dan aku yang kerdil ini. Bersyukur saat Kau masih mencintai diriku, aku harap dengan penuh pengharapan Kau masih meredhai segala perbuatanku.  Aku malu dengan tompokan tompokan dosa dan maksiat yang telah berlalu, sedang berlaku dan akan berlaku. Allahummaghfirlii Ya Allah…Allahummaghfirlii Ya Allah..Allahummaghfirlii Ya Allah…Ampunkan daku Ya Allah. Di saat ini Kau masih beri kekuatan kepadaku walaupon aku pernah menzalimiMu, pernah rapuh pada janjiku sendiri,  namun Kau tetap mengiringiku..betapa malunya aku untuk meminta minta daripadaMu. Hakikatnya, aku masih makhluqMu Ya Rabb, REDHAILAH aku Ya Allah…peliharalah kehormatanku, perbetulkanlah akhlaqku, tegurilah aku dalam kelancanganku berbicara. Sesungguhnya terkadang aku tidak melihat aibku sendiri melainkan teguran dariMu ya Allah. Aku memerlukan Mu Ya Rahman Ya Rahiim.
                Pada saat itu, Kau telah hadirkan rasa sayu dan hiba dalam qalbuku, terima kasih Ya Allah, syukur Ya Allah. Aku masih disayangi. Aku masih dijagai. Aku masih diperhati. Aku masih dikasihi. Benar Ya Quddus, aku perlukan cintaMu, saat ini dan seterusnya aku perlu kan cinta suci itu. Bimbinglah daku menuju REDHAMU Ya Rabb. Cuba ku buang sedaya ku dari cinta dunia yang telah bertapak di hati, namun ia takkan Berjaya tanpa bantuan dan pertolonganMu. Bantulah aku Ya Allah, tiada persiapan yang rapi utk berehat di sana, tiada bekalan yang cukup untuk istirahat yang panjang.
                 Jarum sentiasa berdetik, tanpa sedikitpun menghiraukan diriku. semakin hari detik itu semakin bertambah. Semakin hari dosa turut menyinggah. Lantaran dari kesesakkan dosa itu terkadang membuatkan mujahadahku musnah. Sentiasa “renew” yang tiada penghujungnya….

Thursday, May 31, 2012

Aduhai Kehidupan



              Dalam mengharungi perjalanan hidup di dunia, pasti ada cabaran serta dugaan yang harus kita hadapi. Ujian kehilangan harta benda, ahli keluarga dan sahabat sekeliling memberi impak yang cukup dahsyat terutama bagi kita golongan awwam. Memang mustahil untuk tidak bersedih ketika diuji, kehilangan harta atau orang dikasihi, jawatan diidamkan atau kredibiliti diconteng dengan tinta fitnah tangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Tetapi, begitulah sunnah kehidupan yang tidak selamanya bahagia dan gembira, mesti ada kalanya ditimpa sedih dan sengsara.

Firman Allah SWT :

              “Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. Iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

             Seandainya kita menyelami suara hati yang merintih, apakah keinginan ketika tenggelam dalam kesedihan? Hati yang diserang sengatan syaitan akan berkata: “Malangnya nasibku, jika aku begini tidak akan jadi begini, aku sudah ditakdirkan menerima nasib malang.”

            Berbeza dengan orang yang beriman, bagi mereka yang beriman, kehilangan sesuatu yang disayangi merupakan sesuatu yang akan diberikan ganjaran yang besar, lebih-lebih lagi jika ianya disertai dengan sabar dan redha..


            Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 155 hingga 157 menerangkan perihal mereka ketika mana ditimpa ujian seperti ini.. Kalimah "Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun" menjadi pengubat hati mereka.. Tidak hairanlah jika Allah menjanjikan kepada mereka selawat dan rahmat serta menyifatkan mereka sebagai orang yang mendapat petunjuk.. Mereka yakin, jika bahagian mereka dikurangkan di dunia, mereka pasti akan dilebihkan ganjaran di akhirat kelak..

            Doa dan zikir.. Itulah pengubat hati mukmin dikala lara.. Allah akan bersama orang mukmin yang sabar dan redha.. Kehilangan sesuatu yang disayangi sedikit pun tidak memberi kesan kepada iman mereka terhadap Allah.. Malah kadangkala bertambah-tambah pula iman dan taqwanya.. Baginya harta di dunia ini terlalu sedikit dan tidak bernilai jika hendak dibandingkan dengan nikmat di akhirat kelak..

          Segala khazanah langit dan bumi ini milik Allah... Dia mengurniakan kepada sesiapa yang dikehendakinya dan merampas semula dari siapa yang dikehendakinya….

          Jika orang kafir di muka bumi ini pun diberi kekayaan yang melimpah ruah, apatah lagi hamba-Nya yang beriman dan bersabar atas ujian-Nya..

         Tidak mustahil bagi Allah untuk menggantikan kehilangan harta kita dengan perkara yang lebih baik dan lebih besar nilainya.. Cuma yang menjadi misteri sekarang adalah bilakah waktunya.. Sama ada di dunia yang bersifat sementara ini, ataupun di akhirat yang tiada penghujungnya nanti.. Sebagai individu yang cerdik, pertimbangkanlah.. Mana satukah yang lebih menguntungkan =)

         Wahai mukmin.. Bersabarlah.. Tenangkanlah diri.. Pupuklah sifat redha di hati.. Semoga Allah beri kita kekuatan diri dan ketabahan jiwa dalam menelusuri rasa kehambaan sepanjang perjalanan hidup ini.



Semoga bermanfaat..

Wallahua'lam