Thursday, May 31, 2012

Aduhai Kehidupan



              Dalam mengharungi perjalanan hidup di dunia, pasti ada cabaran serta dugaan yang harus kita hadapi. Ujian kehilangan harta benda, ahli keluarga dan sahabat sekeliling memberi impak yang cukup dahsyat terutama bagi kita golongan awwam. Memang mustahil untuk tidak bersedih ketika diuji, kehilangan harta atau orang dikasihi, jawatan diidamkan atau kredibiliti diconteng dengan tinta fitnah tangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Tetapi, begitulah sunnah kehidupan yang tidak selamanya bahagia dan gembira, mesti ada kalanya ditimpa sedih dan sengsara.

Firman Allah SWT :

              “Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. Iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

             Seandainya kita menyelami suara hati yang merintih, apakah keinginan ketika tenggelam dalam kesedihan? Hati yang diserang sengatan syaitan akan berkata: “Malangnya nasibku, jika aku begini tidak akan jadi begini, aku sudah ditakdirkan menerima nasib malang.”

            Berbeza dengan orang yang beriman, bagi mereka yang beriman, kehilangan sesuatu yang disayangi merupakan sesuatu yang akan diberikan ganjaran yang besar, lebih-lebih lagi jika ianya disertai dengan sabar dan redha..


            Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 155 hingga 157 menerangkan perihal mereka ketika mana ditimpa ujian seperti ini.. Kalimah "Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun" menjadi pengubat hati mereka.. Tidak hairanlah jika Allah menjanjikan kepada mereka selawat dan rahmat serta menyifatkan mereka sebagai orang yang mendapat petunjuk.. Mereka yakin, jika bahagian mereka dikurangkan di dunia, mereka pasti akan dilebihkan ganjaran di akhirat kelak..

            Doa dan zikir.. Itulah pengubat hati mukmin dikala lara.. Allah akan bersama orang mukmin yang sabar dan redha.. Kehilangan sesuatu yang disayangi sedikit pun tidak memberi kesan kepada iman mereka terhadap Allah.. Malah kadangkala bertambah-tambah pula iman dan taqwanya.. Baginya harta di dunia ini terlalu sedikit dan tidak bernilai jika hendak dibandingkan dengan nikmat di akhirat kelak..

          Segala khazanah langit dan bumi ini milik Allah... Dia mengurniakan kepada sesiapa yang dikehendakinya dan merampas semula dari siapa yang dikehendakinya….

          Jika orang kafir di muka bumi ini pun diberi kekayaan yang melimpah ruah, apatah lagi hamba-Nya yang beriman dan bersabar atas ujian-Nya..

         Tidak mustahil bagi Allah untuk menggantikan kehilangan harta kita dengan perkara yang lebih baik dan lebih besar nilainya.. Cuma yang menjadi misteri sekarang adalah bilakah waktunya.. Sama ada di dunia yang bersifat sementara ini, ataupun di akhirat yang tiada penghujungnya nanti.. Sebagai individu yang cerdik, pertimbangkanlah.. Mana satukah yang lebih menguntungkan =)

         Wahai mukmin.. Bersabarlah.. Tenangkanlah diri.. Pupuklah sifat redha di hati.. Semoga Allah beri kita kekuatan diri dan ketabahan jiwa dalam menelusuri rasa kehambaan sepanjang perjalanan hidup ini.



Semoga bermanfaat..

Wallahua'lam