" sesungguhnya detik kematian itu pasti akan hadir dalam setiap yang bernyawa" (kullu nafsin zaaiqatul mauut)
Sunday, August 5, 2012
Quantum Diri~
Tuesday, July 24, 2012
4 Ramadhan 1427H > 4 ramadhan 1433H menggamit memori
Saturday, June 30, 2012
Suara Hati~
Thursday, May 31, 2012
Aduhai Kehidupan
Dalam mengharungi perjalanan hidup di dunia, pasti ada cabaran serta dugaan yang harus kita hadapi. Ujian kehilangan harta benda, ahli keluarga dan sahabat sekeliling memberi impak yang cukup dahsyat terutama bagi kita golongan awwam. Memang mustahil untuk tidak bersedih ketika diuji, kehilangan harta atau orang dikasihi, jawatan diidamkan atau kredibiliti diconteng dengan tinta fitnah tangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Tetapi, begitulah sunnah kehidupan yang tidak selamanya bahagia dan gembira, mesti ada kalanya ditimpa sedih dan sengsara.
Firman Allah SWT :
“Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. Iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)
Seandainya kita menyelami suara hati yang merintih, apakah keinginan ketika tenggelam dalam kesedihan? Hati yang diserang sengatan syaitan akan berkata: “Malangnya nasibku, jika aku begini tidak akan jadi begini, aku sudah ditakdirkan menerima nasib malang.”
Berbeza dengan orang yang beriman, bagi mereka yang beriman, kehilangan sesuatu yang disayangi merupakan sesuatu yang akan diberikan ganjaran yang besar, lebih-lebih lagi jika ianya disertai dengan sabar dan redha..
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 155 hingga 157 menerangkan perihal mereka ketika mana ditimpa ujian seperti ini.. Kalimah "Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun" menjadi pengubat hati mereka.. Tidak hairanlah jika Allah menjanjikan kepada mereka selawat dan rahmat serta menyifatkan mereka sebagai orang yang mendapat petunjuk.. Mereka yakin, jika bahagian mereka dikurangkan di dunia, mereka pasti akan dilebihkan ganjaran di akhirat kelak..
Doa dan zikir.. Itulah pengubat hati mukmin dikala lara.. Allah akan bersama orang mukmin yang sabar dan redha.. Kehilangan sesuatu yang disayangi sedikit pun tidak memberi kesan kepada iman mereka terhadap Allah.. Malah kadangkala bertambah-tambah pula iman dan taqwanya.. Baginya harta di dunia ini terlalu sedikit dan tidak bernilai jika hendak dibandingkan dengan nikmat di akhirat kelak..
Segala khazanah langit dan bumi ini milik Allah... Dia mengurniakan kepada sesiapa yang dikehendakinya dan merampas semula dari siapa yang dikehendakinya….
Jika orang kafir di muka bumi ini pun diberi kekayaan yang melimpah ruah, apatah lagi hamba-Nya yang beriman dan bersabar atas ujian-Nya..
Tidak mustahil bagi Allah untuk menggantikan kehilangan harta kita dengan perkara yang lebih baik dan lebih besar nilainya.. Cuma yang menjadi misteri sekarang adalah bilakah waktunya.. Sama ada di dunia yang bersifat sementara ini, ataupun di akhirat yang tiada penghujungnya nanti.. Sebagai individu yang cerdik, pertimbangkanlah.. Mana satukah yang lebih menguntungkan =)
Wahai mukmin.. Bersabarlah.. Tenangkanlah diri.. Pupuklah sifat redha di hati.. Semoga Allah beri kita kekuatan diri dan ketabahan jiwa dalam menelusuri rasa kehambaan sepanjang perjalanan hidup ini.
Semoga bermanfaat..
Wallahua'lam
Sunday, May 1, 2011
"DIA"
1 mei saban tahun mengimbau kembali detik2 indah bersama ‘DIA’. Rajukku buat ‘DIA’ resah memujuk, tangisku buat ‘DIA’ tidak senang duduk, telatahku juga buat ‘DIA’ ketawa, Senyumku buat ‘DIA’ senang, kata-kataku buatkan ‘DIA’ bahagia, begitu juga aku, tiap detik bagaikan mahu bersama’NYA’, berbual mesra, bergurau senda,berkongsi suka dan duka, senyum’NYA’ menambah ceria, kata-kata’NYA’ penuh makna, menjadi makanan jiwa, penambah perisa dalam santapan.
Terpahat serangkap pesan’NYA’, ‘ kite jangan sombong ’, masih segar dalam kotak fikiranku, jangan sombong diri, orang tak suka, Tuhan lagi tak suka, kataNYA, manis muka itukan lebih elok. ‘DIA’ tidak pandai mengulas secara formal tapi aku faham apa yang cuba di sampaikan, seperti kisah Luqman mengingatkan anaknya. " Janganlah palingkan mukamu daripada manusia lantaran kesombongan dan keegoanmu terhadap mereka, sebaliknya temuilah mereka dengan wajah yang ceria dan berseri-seri tanpa ada rasa takabbur dan meninggi diri. Janganlah kamu berjalan di atas muka bumi ini dalam keadaan yang angkuh kerana sifat tersebut antara perkara yang menjadi kemurkaan Allah Azzawajalla. Aku tersenyum mengiyakannya.
PesanNYA lagi, ‘selalulah bersedekah, Allah akan tambah lagi’, tidak rugi keluarkan sedikit darinya, kelak Ya Razzaq akan cukupkan untukmu sayang, teringat firman Allah SWT “dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakkal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu" (Q.S. 65:3). Masih tersenyum lagi.
TambahNYA lagi, ‘dekatkanlah dirimu dengan majlis ilmu, mudah mudahan kita beroleh manfaatnya’. Meskipun latarbelakang pendidikkanNYA tidak setinggi mana, namun ilmu itu cukup penting bagiNYA, ketika berdiri kamu perlukan ilmu, ketika duduk kamu perlukan ilmu, ketika berjalan kamu perlukan ilmu, hatta ketika tidur juga kamu perlukan ilmu, bawalah dirimu kemana mana dengan ilmu, itu pentingnya majlis ilmu sayangku. Senyumku dalam sebak.
NadaNYA bersambung, ‘nanti cari yang baik akhlaknya’, Akhlak yang baik mampu menjadi serba baik dan terlebih baik, insyaAllah. tersentap rasenya bila dipesan begitu. Sungguh mendalam maksudNYA. Pelik dalam malu, aku terus menundukkan muka dan masih tertanya-tanya mengapa ‘DIA’ berpesan begitu. Kini, aku tahu jawapannya. Berkocak kolam hati bila mengingatkan kembali. Namun, ketenangan datang juga silih berganti. Ada rahsia di sebalik pesananNYA.
1 mei 1954, sekarang… Tiada surat untukku layarkan, tiada kesempatan untukku berbual mesra, tiada ruang untuk kita bergurau senda. Hanya kata-kata hati yang terbit dari sanubari yang amat dalam mengetahui dan memahami isinya, terzahir menjadi doa untukmu di kejauhan sana. Ungkapan penuh hikmah “selamat hari lahir EMAK, semoga Allah merahmati ruhMU serta ditempatkan dalam kalangan ruh ruh orang yang beriman” . terimakasih melahirkanku, terima kasih atas pesanan itu, terimakasih atas asuhanMU, terimakaseh atas SEGALANYA, hanya ALLAH SWT yang mampu membalas jasa dan pengorbananMU, EMAKKU. Rasa kasih dan sayangku padaMU tidak pernah pudar, malah cintaku padaMU semakin mekar. Sesegar nailofar di apungan air. wajahMU hadir di setiap doaku. Terpisah di dunia sementara, mudah mudahan kita berjumpa di sana kelak. Aku pasti ke sana juga. Hari ini, menghimpunkan anak anakMU di teratak asuhanMU. Al Fatihah buat Emak dan Baba yang disemadikan bersama di perut bumi Tuhan Ya Waasi’ Yang Maha Luas.
Monday, March 21, 2011
Cintaku mula berputik kembali
Cinta yang pernah hadir suatu ketika dulu kian malap, semalap gelap malam, kesunyian dalam bicara, ketandusan dalam doa, mujahadahku juga lumpuh akibat kelalaian diri sendiri. Puas mencari punca, satu persatu kuteliti, benarlah…menafikan hati yang keras tidak memberi impak terhadap penyakit ini… sedar tapi menafikan.
Alhamdulillah, ketenangan yang dicari mula menampakkan diri, cinta yang dulu sudi hadir kembali, kasih juga mula bersemi, berbunga bunga seluruh diriku menerimanya kini, speechless, harapanku moga moga ia terus mekar ke dalam seluruh jiwa ragaku. Saban hari, tidak sabarku menanti saat hadirnya malam, dalam kesunyian, memulakan saat pertemuan dalam sembah sujudku padaMu, Indahnya bila cinta mula berputik antaraku denganMu, bercinta dan berkasih denganMu, sungguh indah, sukar untuk kuterjemahkan dalam ruangan ini, satu kelainan yang jarang dirasai sebelum ini, nikmat yang perlu kusyukuri dan hargai, sungguh nikmat…teringat sabda Rasulullah dari Riwayat Ahmad, “ Aku mendengar rasulullah SAW menceritakan daripada Tuhannya yang berfirman : CintaKu berhak untuk orang yang bercinta keranaKu, cintaKu berhak utk orang yang saling menolong keranaKu dan cintaKu berhak untuk orang yang saling berkunjung keranaKu.” Orang yang bercinta kerana Allah berada diatas mimbar daripada cahaya dalam naungan Arasy pada hari yang tiada naungan kecuali naunganNya”.
Ya Allah ampunkanlah kesalahan serta keterlanjuranku, terasa hiba dan gerun bila mengenangkan azabMu Ya Rabbi, faqirnya diriku,betapa jauhnya diriku dari Mu, sepanjang ku di buai mimpi, telah kulupai janjiMu, lena ku juga masih belum terjaga lagi, semoga dgn kesedaran ini menitip KEINSAFAN buat diri beserta hatiku. Izinkanku bersamaMu lagi Ya Allah dalam ruangan tafakur ku nanti…aku harus berusaha dalam jalan mujahadahku, walau sukar, berusaha untuk memampukannya. Kata Saidina Ali, “Ketidakmampuan itu adalah malapetaka, kesabaran adalah keberanian, zuhud adalah kekayaan, pengendalian diri adalah perisai (terhadap dosa) dan sahabat terbaik dalam penyerahan (kepada Allah).”mudah mudahan…
Allahua’lam
jumaat, 18 march 2011
~ Prasangka yang melelahkan ~
Prasangka itu umpama racun yang bisa membunuh mangsa, selagi ia bertapak di dalam hati ia seperti mencucuh cucuh diri tanpa henti, mengasak jutaan soalan, mencipta andaian demi andaian, kadangkala membawa pertelingkahan.
Indahnya berlapang dada dlm setiap perkara, umpama penawar tika keresahan, selagi ia mendominasi ke dlm diri, soalan yang diasak berbalas jawapan , segala andaian dirumus dgn kebaikan, pertelingkahan dirawat dengan husnuzhon.
Wahai diri yang ingin dikasihi,
Andai dirimu tidak dikasihi,
Renungilah apakah dirimu mengasihi?
Wahai diri yang ingin diingati,
Andai dirimu tidak diingati,
Sedarlah, apakah dirimu mengingati?
Wahai diri yang ingin disayangi,
Andai dirimu tidak disayangi
Apakah dirimu menyayangi?
Wahai diri yang ingin dihargai,
Andai dirimu tidak dihargai,
Apakah dirimu menghargai?
Wahai diri yang ingin dimiliki,
Andai dirimu tidak dimiliki,
Apakah dirimu sudah memiliki?
Wahai diri, hamba Rabbi
usahlah engkau khuatiri,
itu fitrah insani!
Percayalah,
Fitrah dikasihi,diingati, disayangi, dihargai, dimiliki telah disatukan dibawah satu baris kata “kasih sayang Allah” andai engkau mengerti hakikat itu. Ramai yang mencari cari hakikat bahagia, namun masih ramai yang buntu dipertengahannya. Adakah cukup dengan harta, pangkat ataupun keluarga ?. Kebahagian hakiki hanya akan dimiliki oleh mereka yang mengenal Allah serta mengerti hakikat kehidupan dengan kefahaman yang benar dan iman yang mendalam. Ya Allah, mudah untukku menulis dan berbicara, namun aplikasinya bagaimana?... Ampunkan diriku Ya Rabbi.
Justeru, marilah kita berusaha mencari kebahagian yang sebenar dengan mengemudi kehidupan seperti mana yang dikehendaki oleh Allah SWT, dan seperti mana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Persoalannya apakah kunci untuk melayari kehidupan ini seperti yang Allah SWT hendaki dan Rasulullah SAW tunjuki? Apakah yang kita perlukan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT semata-mata? Jawapannya terkandung dalam surah Al-Imran, ayat 79,
“Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani (pengabdi-pengabdi Allah), kerana kamu selalu mengajarkan al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.”(Ali Imran: 79)
Ayuh, saudaraku seiman. Marilah kita menjadi hamba Rabbani dengan sentiasa berada dalam suasana mengajar dan belajar al-Kitab (yakni ajaran Islam). Hisablah diri kita sejujur-jujurnya. Seandainya telah timbul kesedaran bahawa kita masih belum memulakan interaksi yang baik dengan manual kehidupan dunia (Al-Quran), sedarlah kita masih ada hari ini untuk memulakannya. Bertindaklah! Mudah-mudahan Allah pimpin dan bimbing. Bagi yang telah memulakan interaksi yang baik dengan Al-Quran, maka marilah kita lakukan peningkatan,
Beringatlah!
Allah sentiasa mengasihimu wahai diri, DIA telahpun mengasihimu, mengingatimu, menyayangimu, menghargaimu, serta memilikimu. Kasihnya tidak luak, sayangnya tiada senggak, engkau juga adalah milikNya yang mutlak. Hanya menunggu masa untuk kembali ke pangkuanNya kelak.