Monday, March 21, 2011

Cintaku mula berputik kembali

Cinta yang pernah hadir suatu ketika dulu kian malap, semalap gelap malam, kesunyian dalam bicara, ketandusan dalam doa, mujahadahku juga lumpuh akibat kelalaian diri sendiri. Puas mencari punca, satu persatu kuteliti, benarlah…menafikan hati yang keras tidak memberi impak terhadap penyakit ini… sedar tapi menafikan.

Alhamdulillah, ketenangan yang dicari mula menampakkan diri, cinta yang dulu sudi hadir kembali, kasih juga mula bersemi, berbunga bunga seluruh diriku menerimanya kini, speechless, harapanku moga moga ia terus mekar ke dalam seluruh jiwa ragaku. Saban hari, tidak sabarku menanti saat hadirnya malam, dalam kesunyian, memulakan saat pertemuan dalam sembah sujudku padaMu, Indahnya bila cinta mula berputik antaraku denganMu, bercinta dan berkasih denganMu, sungguh indah, sukar untuk kuterjemahkan dalam ruangan ini, satu kelainan yang jarang dirasai sebelum ini, nikmat yang perlu kusyukuri dan hargai, sungguh nikmat…teringat sabda Rasulullah dari Riwayat Ahmad, “ Aku mendengar rasulullah SAW menceritakan daripada Tuhannya yang berfirman : CintaKu berhak untuk orang yang bercinta keranaKu, cintaKu berhak utk orang yang saling menolong keranaKu dan cintaKu berhak untuk orang yang saling berkunjung keranaKu.” Orang yang bercinta kerana Allah berada diatas mimbar daripada cahaya dalam naungan Arasy pada hari yang tiada naungan kecuali naunganNya”.

Ya Allah ampunkanlah kesalahan serta keterlanjuranku, terasa hiba dan gerun bila mengenangkan azabMu Ya Rabbi, faqirnya diriku,betapa jauhnya diriku dari Mu, sepanjang ku di buai mimpi, telah kulupai janjiMu, lena ku juga masih belum terjaga lagi, semoga dgn kesedaran ini menitip KEINSAFAN buat diri beserta hatiku. Izinkanku bersamaMu lagi Ya Allah dalam ruangan tafakur ku nanti…aku harus berusaha dalam jalan mujahadahku, walau sukar, berusaha untuk memampukannya. Kata Saidina Ali, “Ketidakmampuan itu adalah malapetaka, kesabaran adalah keberanian, zuhud adalah kekayaan, pengendalian diri adalah perisai (terhadap dosa) dan sahabat terbaik dalam penyerahan (kepada Allah).”mudah mudahan…

Allahua’lam

jumaat, 18 march 2011

~ Prasangka yang melelahkan ~


Prasangka itu umpama racun yang bisa membunuh mangsa, selagi ia bertapak di dalam hati ia seperti mencucuh cucuh diri tanpa henti, mengasak jutaan soalan, mencipta andaian demi andaian, kadangkala membawa pertelingkahan.

Indahnya berlapang dada dlm setiap perkara, umpama penawar tika keresahan, selagi ia mendominasi ke dlm diri, soalan yang diasak berbalas jawapan , segala andaian dirumus dgn kebaikan, pertelingkahan dirawat dengan husnuzhon.

Wahai diri yang ingin dikasihi,

Andai dirimu tidak dikasihi,

Renungilah apakah dirimu mengasihi?

Wahai diri yang ingin diingati,

Andai dirimu tidak diingati,

Sedarlah, apakah dirimu mengingati?

Wahai diri yang ingin disayangi,

Andai dirimu tidak disayangi

Apakah dirimu menyayangi?

Wahai diri yang ingin dihargai,

Andai dirimu tidak dihargai,

Apakah dirimu menghargai?

Wahai diri yang ingin dimiliki,

Andai dirimu tidak dimiliki,

Apakah dirimu sudah memiliki?

Wahai diri, hamba Rabbi

usahlah engkau khuatiri,

itu fitrah insani!

Percayalah,

Fitrah dikasihi,diingati, disayangi, dihargai, dimiliki telah disatukan dibawah satu baris kata “kasih sayang Allah” andai engkau mengerti hakikat itu. Ramai yang mencari cari hakikat bahagia, namun masih ramai yang buntu dipertengahannya. Adakah cukup dengan harta, pangkat ataupun keluarga ?. Kebahagian hakiki hanya akan dimiliki oleh mereka yang mengenal Allah serta mengerti hakikat kehidupan dengan kefahaman yang benar dan iman yang mendalam. Ya Allah, mudah untukku menulis dan berbicara, namun aplikasinya bagaimana?... Ampunkan diriku Ya Rabbi.

Justeru, marilah kita berusaha mencari kebahagian yang sebenar dengan mengemudi kehidupan seperti mana yang dikehendaki oleh Allah SWT, dan seperti mana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Persoalannya apakah kunci untuk melayari kehidupan ini seperti yang Allah SWT hendaki dan Rasulullah SAW tunjuki? Apakah yang kita perlukan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT semata-mata? Jawapannya terkandung dalam surah Al-Imran, ayat 79,

“Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani (pengabdi-pengabdi Allah), kerana kamu selalu mengajarkan al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.”(Ali Imran: 79)

Ayuh, saudaraku seiman. Marilah kita menjadi hamba Rabbani dengan sentiasa berada dalam suasana mengajar dan belajar al-Kitab (yakni ajaran Islam). Hisablah diri kita sejujur-jujurnya. Seandainya telah timbul kesedaran bahawa kita masih belum memulakan interaksi yang baik dengan manual kehidupan dunia (Al-Quran), sedarlah kita masih ada hari ini untuk memulakannya. Bertindaklah! Mudah-mudahan Allah pimpin dan bimbing. Bagi yang telah memulakan interaksi yang baik dengan Al-Quran, maka marilah kita lakukan peningkatan,

Beringatlah!

Allah sentiasa mengasihimu wahai diri, DIA telahpun mengasihimu, mengingatimu, menyayangimu, menghargaimu, serta memilikimu. Kasihnya tidak luak, sayangnya tiada senggak, engkau juga adalah milikNya yang mutlak. Hanya menunggu masa untuk kembali ke pangkuanNya kelak.